• 2025-08-11 02:02 PM

GEORGE TOWN: Seorang pemilik kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas dibebaskan dengan jaminan polis selepas disiasat berhubung insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di premisnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata lelaki berusia 59 tahun itu ditahan pada malam Sabtu dan dibebaskan petang semalam.

Lebih 10 orang telah memberi keterangan untuk membantu siasatan kes ini.

Kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Anuar berkata demikian selepas majlis serah tugas Ketua Polis Pulau Pinang di ibu pejabat polis negeri.

Siasatan kes ini dijalankan di bawah beberapa akta termasuk Akta Lambang dan Nama 1963.

Polis menasihati orang ramai agar tidak mengadakan demonstrasi berhubung isu ini bagi mengelak masalah ketenteraman awam.

Video insiden ini tular di media sosial menunjukkan dua lelaki seolah-olah sengaja memasang bendera terbalik.

Beberapa NGO dan ADUN Bertam telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini. – Bernama