KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan kepada penceramah dan pendakwah, khususnya yang bergerak bebas, supaya sentiasa mematuhi etika dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Beliau berkata saringan terhadap latar belakang, akhlak dan kelayakan penceramah dan pendakwah bebas tanpa pengiktirafan atau pemantauan institusi berautoriti itu juga perlu diperkukuh supaya dakwah yang disampaikan benar-benar membawa rahmat, bukan fitnah.
“Saya ingin mengingatkan bahawa setiap penceramah, pendakwah dan individu yang membawa imej Islam, terutamanya golongan agamawan bebas, hendaklah sentiasa menjaga akhlak, integriti dan maruah diri selaras dengan ajaran Islam.
“Kedudukan sebagai pendakwah bukanlah lesen untuk memperalatkan agama demi kepentingan peribadi atau terlibat dalam perlakuan yang tidak bermoral dan bercanggah dengan undang-undang,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Mohd Na’im berkata Kerajaan MADANI juga komited untuk memperkasakan ekosistem dakwah yang lebih tersusun, profesional dan berintegriti.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menganjurkan program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) yang memfokuskan kepada usaha melahirkan pendakwah-pendakwah muda negara.
“Hingga kini, sebanyak 364 orang sudah menjalani latihan intensif untuk kedua-dua program ini sejak ia dimulakan pada 2014. Inilah antara usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam melahirkan pendakwah yang mencerminkan ummah MADANI,” katanya.
Mengulas berhubung kes melibatkan seorang penceramah bebas yang disyaki terlibat dengan penyebaran video seks, beliau berkata isu itu memberikan implikasi negatif bukan sahaja mencemarkan maruah individu yang terlibat, tetapi turut memburukkan imej institusi dakwah serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap agamawan.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil serta tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman secara umum.
“Pada masa yang sama, kita mesti menolak sekeras-kerasnya budaya saling mengaibkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk meraih pengaruh atau perhatian,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang penceramah bebas yang disyaki menyebarkan beberapa video seks serta foto mengaibkan isterinya dan wanita lain.