JITRA: Para pendidik perlu bertekad untuk melahirkan generasi yang mampu memimpin bagi memastikan kepimpinan negara akan terus diwarisi oleh individu yang tepat seperti yang dituntut oleh adat, bangsa dan agama.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata menjadi tanggungjawab semua pihak, khususnya para pendidik untuk mencorakkan para pelajar supaya dapat mencapai kejayaan tertinggi dan berupaya menjadi pemimpin hebat walaupun daripada latar belakang sederhana.

“Saya tidak percaya bahawa seorang pemimpin itu dilahirkan, sebaliknya bagi saya, seorang pemimpin itu perlu dibentuk dan diasuh tanpa mengira asal usul mereka.

“Saya sendiri berasal dari kampung dan merupakan anak penoreh getah sahaja, tetapi sekarang saya telah menjadi apa yang saya jadi sekarang dan apabila saya sebut pemimpin, bukan saja dalam politik, tetapi dalam semua bidang,“ katanya pada program Bicara Eksekutif MADANI bersama warga pendidik di Institut Aminuddin Baki, di sini hari ini.

Beliau berkata para pendidik berada pada posisi paling tepat dalam melahirkan watak-watak yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Johari berkata untuk menjadi pemimpin yang baik, setiap individu perlu mempunyai impian, keberanian dan ilmu yang tinggi kerana hanya dengan pendidikan yang baik mereka akan dapat pergi lebih jauh.

“Sebagai anak Malaysia, kita ada semua peluang untuk berjaya dan pelajaranlah yang memungkinkan kita untuk naik ke atas. Bertanggungjawab dan jadilah contoh yang baik kerana pelajar akan mengikut jejak guru mereka,“ katanya.

Pada majlis itu, Johari turut berkongsi kisah tentang kesulitan yang dialaminya pada zaman persekolahan dan bagaimana beliau mampu berjaya hasil didikan guru-guru hebat yang hadir dalam kehidupannya.

“Saya orang miskin, bantu keluarga jual kuih sebelum ke sekolah. Tetapi, saya ada guru-guru hebat yang sentiasa menyokong saya sehingga berjaya menjadi pelajar terbaik dan hari ini menjadi orang penting dalam kerajaan serta berpeluang bergaul dengan orang atasan,“ katanya.

Pada program bicara ketokohan itu, sebanyak 350 peserta hadir yang terdiri daripada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri dari Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis serta bakal pengetua dan guru besar sekolah.