• 2025-10-16 11:32 AM

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Jamalullail bertitah pendidikan berteraskan nilai hormat, kasih sayang, moral dan agama antara pendekatan paling berkesan untuk membanteras gejala negatif termasuk masalah buli melibatkan murid dan pelajar sekolah di negara ini.

Baginda bertitah pendidikan Islam memainkan peranan penting sebagai asas pembentukan sahsiah dan kekuatan tamadun umat yang sistem pendidikan itu perlu terus diperkasakan bukan sahaja dari segi struktur dan pelaksanaan tetapi juga dari segi roh dan nilai yang mendasarinya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru JAKIM dan JPPIK supaya terus memperkukuh koordinasi antara peringkat Persekutuan dan negeri.

Baginda menegaskan segala dasar dan pelan tindakan yang dirangka perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi kesan langsung kepada kualiti pendidikan Islam di sekolah, institusi dan masyarakat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah hanya melalui sistem pendidikan yang benar-benar berkesan, kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan bebas daripada gejala negatif.

Baginda bertitah demikian pada majlis makan malam bersama sempena Persidangan JPPIK, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-63 yang berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober di Perlis.

Raja Muda Perlis turut berkenan melancarkan Buku Siri Asas Kanak-Kanak Muslim yang diterbitkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Baginda turut menaruh harapan supaya buku, bahan pengajaran dan pendekatan baharu dalam pendidikan Islam terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan MAIPs dan JAIPs perlu terus menambah baik pelaksanaan program-program pendidikan Islam di negeri itu.

Baginda menegaskan tumpuan perlu diberikan bukan hanya kepada kejayaan akademik, tetapi kepada pembinaan akhlak dan adab dalam kalangan murid serta tenaga pengajar.

Raja Muda Perlis bertitah kualiti guru dan keberkesanan kurikulum mesti sentiasa dipantau dan dipertingkatkan supaya selaras dengan hasrat negeri dan juga negara. – Bernama