KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai konflik Palestin-Israel menjadi antara tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Mohd Shahar Abdullah dari Paya Besar menanyakan sejauh mana pelan damai itu selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin serta kedaulatan negara tersebut.
Pada sesi sama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Masjid Tanah menanyakan tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau ingin mengetahui aspek promosi antarabangsa, penglibatan kerajaan negeri, dan prinsip value for money dalam perbelanjaan program tersebut.
Soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dari Rantau Panjang kepada Menteri Kewangan turut menarik perhatian mengenai keberkesanan pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah.
Beliau bertanyakan pendirian kerajaan terhadap bantuan kepada golongan B40 dan isu kelewatan yang dilaporkan dialami sebahagian penerima di luar bandar.
Mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi hari kedua pada Peringkat Dasar selepas sesi soal jawab lisan.
Sesi perbahasan Peringkat Dasar dijadualkan berlangsung selama lapan hari bermula semalam hingga 28 Oktober ini.
Perbahasan Peringkat Jawatankuasa pula akan bermula pada 5 November dan berakhir pada 27 November. – Bernama