KUALA LUMPUR: Polis telah mengenal pasti 12 individu termasuk penganjur Perhimpunan Aman Demi Negara yang diadakan di parkir awam di luar Kompleks Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata penganjur tidak mendapat permit berhimpun seperti ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman (Akta 736) kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tanah iaitu Perbadanan Putrajaya.