• 2025-07-23 08:56 PM

PAPAR: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyatakan, program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas dengan peruntukan RM2 bilion, memberi manfaat kepada 22 juta warganegara berusia 18 tahun ke atas.

“Rakyat boleh menebus RM100 yang dimasukkan ke dalam MyKad mereka di lebih 4,000 premis yang menyertai program SARA di seluruh negara untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan telur,“ kata Fahmi.

Beliau menegaskan bahawa pengumuman ini membuktikan kesungguhan Perdana Menteri dalam mendengar dan bertindak balas terhadap keluh-kesah rakyat.

Selain SARA, kerajaan juga menggandakan peruntukan program Jualan Rahmah daripada RM300 juta kepada RM600 juta.

“Perdana Menteri menyatakan setiap daerah sekurang-kurangnya akan mempunyai satu lokasi Jualan Rahmah,“ tambah Fahmi.

Pengumuman lain termasuk penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, dengan mekanisme pelaksanaan akan dijelaskan oleh Kementerian Kewangan.

Fahmi turut memberi petunjuk bahawa lebih banyak inisiatif akan diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan MADANI 2026 pada Oktober nanti. - Bernama