• 2025-07-03 09:40 AM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM16,000. Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah petang tadi.

Menurut sumber, siasatan awal menunjukkan suspek menerima wang suapan secara berperingkat melalui pemindahan bank. Wang tersebut didakwa sebagai balasan untuk mendapatkan kerja membaik pulih di bawah GLC terbabit di sekitar Sabah.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok bagi permohonan reman.