NIBONG TEBAL: Pengusaha ladang ternakan ayam di Pulau Pinang terutamanya di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang mempunyai ternakan melebihi 20,000 ekor diberi tempoh hingga 31 Dis ini untuk beralih kepada sistem reban tertutup.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata sistem moden itu bukan sahaja berupaya mengurangkan isu pencemaran malah membantu penternak meningkatkan produktiviti dan menitikberatkan aspek pengurusan ladang terutama pengurusan sisa najis serta isu lalat.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu juga selari dengan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas (Pulau Pinang) 2020 dan Peraturan-peraturan Pengawalan Unggas (Negeri Pulau Pinang) 2022 yang mula berkuat kuasa 1 Jan lepas dalam menambah baik industri ternakan di negeri ini.

“Setakat ini kerajaan negeri kekal dengan keputusan memberikan tempoh hingga 31 Dis ini untuk mewajibkan pengusaha menaik taraf kepada sistem reban tertutup. Namun, kita juga melaksanakan pemutihan bagi memudahkan pengusaha bertukar kepada sistem berkenaan.

“Menerusi program pemutihan ini, penternak dikecualikan daripada mengemukakan pelan kebenaran merancang dan hanya perlu menyerahkan pelan bangunan sahaja. Ini kerana kalau nak masuk pelan kebenaran merancang agak rumit, mahal dan sukar dipatuhi sebab reban terlalu lama,“ katanya kepada pemberita ketika meninjau tapak pembinaan ladang sistem reban ayam tertutup di Sungai Bakap di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) Dr Saira Banu Mohamed Rejab dan Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Dr Mohammad Aklis Azmi.

Media sebelum ini melaporkan isu serangan lalat antara masalah yang kerap dibangkitkan oleh penduduk Sungai Bakap ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu dan mereka berharap wakil rakyat baharu dapat menyelesaikan isu yang sudah lama berlarutan itu.

Sementara itu, Dr Saira Banu berkata bilangan pengusaha yang bertukar kepada sistem itu masih sedikit berikutan kosnya mencecah jutaan ringgit dan berdasarkan maklum balas diterima pihaknya rata-rata pengusaha meminta sedikit penangguhan.

“Inisiatif ini akan dimulakan secara berperingkat sebab kalau ada 10 reban mereka tidak boleh nak naik taraf semua sebab nak bina satu pun sudah menelan kos lebih RM1 juta. Kita jangka ia tidak boleh disiapkan dalam masa dua tahun.

“Sekarang ini bergantung kepada kerajaan negeri adakah tempoh lebih panjang akan diberikan kepada pengusaha sehingga kita dapat pastikan semua ladang ayam yang ada kapasiti 20,000 ekor ke atas 100 peratus menggunakan sistem reban tertutup,“ katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat lebih 300 ladang unggas di negeri ini dan 187 daripadanya sudah diberikan lesen dengan 115 terletak di daerah SPS, manakala bakinya masih dipantau sama ada layak diberikan lesen atau jika gagal mematuhi ketetapan digariskan maka arahan menutup ladang akan dikeluarkan.

Mengulas mengenai isu serangan lalat, Dr Mohammad Aklis berkata Jabatan Perkhidmatan Kesihatan mengambil tindakan dengan melakukan pemeriksaan di keseluruhan ladang bagi mengenal pasti mana-mana yang berisiko dan boleh menyebabkan kacau ganggu.

“Untuk isu lalat, pihak majlis menggunakan perundangan di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Undang-undang Kecil Bahagian Lesen dan kompaun serta notis akan dikeluarkan jika berlaku kegagalan dalam aspek pengurusan tinja dan jika indeks lalat tinggi.

“Di Taman Sintar Indah umpamanya kita telah kenal pasti tiga buah ladang bermasalah dan sudah diberikan notis serta kompaun. Kita memang sentiasa bekerjasama rapat dengan penternak untuk program kawalan lalat dan sedia bantu jika ada sebarang masalah,“ katanya.