KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM87,000.
Normila Ladahali, 49, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga.
Beliau berdepan 18 pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana cuba mendapatkan suapan untuk dirinya berjumlah RM55,311.30.
Wang tersebut didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik dua anaknya sebagai dorongan untuk memberikan kerja-kerja membabitkan Jabatan Perpustakaan Negeri Sabah kepada beberapa syarikat.
Transaksi tersebut berlaku di cawangan Maybank Mesra Alam di sini antara November 2022 hingga Oktober 2023.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai yang lebih tinggi.
Wanita itu turut didakwa melakukan 12 kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana cuba mendapatkan benda berharga bernilai RM32,500 daripada dua individu.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik dua anaknya di cawangan Maybank Mesra Alam di sini antara April 2022 hingga Jun 2023.
Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Normila dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga perlu melapor diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh turut dilarang mendekati saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi.
Tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama