KUALA LUMPUR: Seorang penuntut cemerlang bidang perakaunan yang pernah mendapat tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Program Asas Perakaunan (FIA) Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, yang tidak bekerja, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan dalam kejadian kira-kira 4.45 petang.
Turut terlibat dalam kemalangan itu ialah tiga lagi motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang semuanya sedang dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Ampang.
“Mangsa maut di lokasi kejadian, manakala lima lagi individu terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan serta dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.
“Pemandu kedua-dua kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan difahamkan semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu berusia antara 17 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pemandu Alza seorang lelaki berusia 27 tahun telah ditahan dan permohonan reman akan dibuat hari ini, manakala kenderaannya dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan punca kejadian masih disiasat.
Naazron berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Narolhisyam Endi di talian 019-5897115.
Sementara itu, Tymba Education Group menerusi hantaran di akaun Instagram memaklumkan Aysar Zahran, bekas penuntut mereka yang cemerlang dan pernah memperoleh tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan FIA ACCA kertas Management Information 1 (MA1) pada Disember 2023.