WASHINGTON: Seorang individu tidak dikenali menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara dan identiti Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio. Menurut laporan The Washington Post, penyamar ini menghubungi beberapa pegawai tinggi AS dan menteri luar negara melalui mesej teks dan suara.
Penyamar itu dikatakan menggunakan aplikasi Signal untuk menghantar mesej dengan alamat e-mel palsu “Marco.Rubio@state.gov”. Dalam satu kes, individu itu meninggalkan pesanan suara dan mengajak mangsa berkomunikasi melalui Signal.
“Individu itu meninggalkan pesanan suara di Signal kepada sekurang-kurangnya dua sasaran dan dalam satu kes, turut menghantar mesej teks mengajak individu itu berkomunikasi melalui Signal,” menurut kabel Jabatan Negara yang dipetik dalam laporan.
Pihak berkuasa AS masih belum mengenal pasti motif sebenar atau identiti dalang di sebalik serangan ini. Namun, mereka mengesyaki ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat sensitif atau akses kepada akaun tertentu.
Pegawai yang enggan dikenali tidak mendedahkan kandungan mesej atau identiti sasaran. Teknologi AI semakin digunakan dalam serangan siber, meningkatkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan pegawai kerajaan. - Bernama-Sputnik/RIA Novosti