ISKANDAR PUTERI: Palestin menyifatkan perlawanan persahabatan menentang Malaysia esok sebagai platform penting untuk menguji kombinasi baharu dalam persediaan menghadapi Piala Asia dan Piala Dunia.
Ketua Jurulatih Ehab Abu Jazar berkata skuadnya berdepan cabaran apabila beberapa pemain utama terpaksa diketepikan kerana kecederaan namun perlawanan tersebut akan menjadi peluang berharga untuk menilai potensi pemain baharu.
“Perlawanan ini penting kerana ia juga memberi kesan kepada ranking FIFA. Kami mahu melihat keupayaan sembilan ke 10 muka baharu yang menyertai skuad kali ini. Walaupun ada pemain mengalami kecederaan, ia peluang terbaik untuk yang lain membuktikan kemampuan mereka.
“Kita kini pada awal musim, jadi secara jujurnya ada beberapa cabaran. Tempoh persediaan terlalu pendek atau terlalu panjang dan banyak pemain belum turun bermain dalam sebulan. Sebab itu ada kecederaan otot.
“Para pemain esok bukanlah semuanya baharu memandangkan ada sebahagian telah bersama pasukan kebangsaan sejak 2013 manakala yang lain pemain baharu. Jadi ia kombinasi pemain berpengalaman dan muka baharu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Antara pemain yang tidak dapat beraksi esok ialah Mohammed Saleh, Assad Al Hamlawi, Mohamad Hebous, Amid Mahajna, Musab Al Batat dan Muath Barhous.
Mengenai Malaysia, Ehab mengakui kemajuan berterusan Harimau Malaya yang dirangsang oleh kehadiran pemain naturalisasi dan mengakui rentak serta gaya permainan mereka yang agresif.
“Malaysia adalah pasukan yang kuat. Walaupun mereka juga ketiadaan dua atau tiga pemain, mereka sudah bersedia untuk perlawanan ini. Dan kami tahu penyokong tempatan akan memberikan sokongan penuh, yang akan menjadikan suasana lebih menarik,“ katanya.
Sementara itu, pemain tengah Oday Kharoub, yang sebelum ini beraksi dalam liga Malaysia sebagai Kapten Kelantan Darul Naim (KDN) FC, berkata beliau menghormati semua pemain Malaysia termasuk pemain naturalisasi.
“Bagi saya, Malaysia telah banyak berubah sejak pertemuan terakhir kami, terutamanya dengan kemasukan pemain naturalisasi dan asing,” katanya.
Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil Khamis lepas - BERNAMA