KUALA LUMPUR: Permohonan maaf terbuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock mencerminkan keikhlasan Kerajaan MADANI, menurut Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata tindakan ini menunjukkan keadilan peralihan apabila institusi kerajaan mengakui dan belajar daripada kesilapan lalu. SPRM turut menawarkan sumbangan ihsan untuk kebajikan dan pendidikan anak lelaki Teoh yang kini berusia 15 tahun.
“Kerajaan memberikan kepercayaan penuh kepada Soh Cher Wei, balu Teoh, untuk menguruskan sumbangan ini. Kami harap keluarga Teoh dapat menerimanya dengan hati terbuka demi masa depan anak mereka,“ kata Loke.
Beliau menegaskan bahawa sokongan ini diberikan tanpa syarat, dan keluarga Teoh tetap bebas untuk terus menuntut keadilan melalui advokasi awam.
Loke turut mengulangi komitmen DAP untuk menyokong keluarga Teoh melalui saluran undang-undang. DAP Selangor akan menganjurkan majlis memperingati Teoh pada 27 Julai ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini menyatakan simpati dan memohon maaf kepada keluarga Teoh, sambil berjanji memperbaiki kelemahan lalu bagi memulihkan kepercayaan rakyat.
Teoh, setiausaha politik kepada bekas ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di Shah Alam. - Bernama