KANGAR: Perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa merupakan aset dan tonggak utama dalam menjayakan pembentukan masyarakat dan negara MADANI yang sedang diusahakan kerajaan.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah oleh kerana perpaduan adalah aset dan kunci utama kejayaan dan kehidupan rakyat, maka perlu ada usaha berterusan daripada semua peringkat lapisan masyarakat itu sendiri.
“Masing-masing perlu sedar peranan dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha memperkasakan nilai dan tahap perpaduan masyarakat.
“Perpaduan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia memerlukan usaha bersama daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, institusi pendidikan sehinggalah kepada setiap individu. Kita semua mempunyai peranan tersendiri.
“Jadikanlah rumah, sekolah, tempat kerja dan komuniti kita sebagai medan untuk menyemai semangat perpaduan dan kasih sayang sesama insan,” titah baginda semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri tahun ini di sini hari ini.Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Saraswathy Kandasami.