• 2025-10-11 06:56 PM

IPOH: Semangat bangsa dan agama tidak akan terhakis meskipun pelajar serta murid daripada pelbagai kaum, agama dan budaya belajar bersama di bawah satu bumbung atau sekolah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepelbagaian masyarakat di Malaysia merupakan kekuatan yang perlu diraikan dan bukan dipersoalkan.

Beliau menyatakan kepelbagaian ini menjadi asas kepada perpaduan serta keharmonian negara.

“Malaysia ini negara berbagai kaum, berbagai agama, berbagai budaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Poi Lam.

Anwar menambah anak-anak pelajar Melayu, Cina, India dan Orang Asli boleh bergaul sebagai satu pasukan anak-anak Malaysia.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu terus memupuk semangat menghormati dan memuliakan kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat.

Perdana Menteri menekankan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meraikan pelbagai perayaan secara bersama seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali pada setiap tahun.

Amalan itu melambangkan semangat saling menghormati antara kaum yang menjadi teras kepada kekuatan negara.

“Ini cara kita memuliakan budaya, menghormati masing-masing, bahasa, budaya dan ini cara kita ikat perpaduan negara kita,” katanya.

Dalam majlis sama Anwar menyerahkan sumbangan kepada wakil 15 sekolah melibatkan 2,500 pelajar di kawasan Parlimen Tambun. – Bernama