MELAKA: Peruntukan tambahan RM10 juta bagi pembangunan program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka dilihat bakal membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada kerajaan negeri untuk memperkasakan bidang tersebut.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata ia sekali gus menjadi platform terbaik kepada kerajaan negeri yang menyasarkan menjadikan Melaka sebagai pusat TVET negara pada masa hadapan.

“Alhamdulilah kita sangat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas peruntukan tambahan itu, dan ia akan gunakan bagi memacu pembangunan pendidikan TVET di Melaka.

“Ini adalah antara usaha dalam membuka lebih banyak ruang kepada anak tempatan atau dari di luar Melaka untuk akses pendidikan TVET di Melaka sendiri memandangkan ia merupakan antara sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai pusat pendidikan TVET negara,“ katanya kepada Bernama.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta kepada Majlis TVET Negara dan RM10 juta kepada kerajaan Melaka, khusus bagi memperkasa pembangunan keusahawanan TVET.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh semalam.

Sementara itu Khaidhirah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis TVET Melaka berkata dana tambahan itu juga akan menjadi platform kepada Majlis TVET Melaka dan Jawatankuasa Kerja TVET Melaka untuk memperkukuhkan lagi jaringan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkepentingan dalam bidang TVET ini termasuk institusi, NGO dan agensi kerajaan.

Sementara itu mengulas mengenai Hari TVET Negara 2025 yang berakhir hari ini, beliau berkata program tersebut berjaya mencapai sasaran dengan lebih 120,000 orang hadir, sekali gus memberi gambaran bidang TVET semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar serta dijadikan platform untuk membina kerjaya di masa hadapan.

“Kita menysasarkan sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung dan Alhamdulilah, untuk hari ini (hari terakhir) jumlah tersebut telah melepasi sasaran iaitu melebihi 120,000 setakat tengah hari ini,“ katanya.