• 2025-10-11 03:55 PM

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM2.38 bilion kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan kerajaan memacu pembangunan negara secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar.

Peruntukan ini meningkat sebanyak 5.3% berbanding tahun 2025 dengan RM1.49 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM891.27 juta untuk pembangunan.

Sebanyak RM250 juta diperuntukkan di bawah Dana Ecological Fiscal Transfer bagi menyokong negeri-negeri dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Dana itu merangkumi RM50 juta yang akan disalurkan terus sebagai hasil kepada kerajaan negeri.

Sebanyak RM80 juta turut disediakan bagi menampung 2,500 renjer komuniti terdiri daripada lebih 1,000 Orang Asli dan hampir 700 veteran.

Rencana ini akan dilengkapi peralatan rondaan untuk meningkatkan keupayaan melindungi habitat terancam seperti Harimau Malaya, Orang Utan dan Banteng.

Kerajaan turut menggalakkan penggunaan teknologi hijau dengan memperluas Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau untuk Kegunaan Sendiri sebanyak 100% kepada pengguna produk teknologi hijau buatan tempatan.

Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bernilai RM1 bilion akan diteruskan sehingga 31 Disember 2026 dengan insentif jaminan kerajaan sehingga 80% bagi sektor sisa.

Cukai Karbon akan diperkenalkan mulai tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.

Mekanisme pelaksanaan cukai ini akan diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.

Pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM2,500 turut diperluaskan untuk merangkumi pembelian mesin rincih sisa makanan.

Dalam sektor pelancongan, lebih RM700 juta disediakan bagi merancakkan industri termasuk RM25 juta untuk pemuliharaan tapak UNESCO.

Tapak UNESCO yang dimaksudkan termasuk Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Lembah Lenggong di Perak dan FRIM Forest Park di Selangor.

Pulau Langkawi kekal sebagai destinasi geopelancongan utama dengan pembangunan Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor serta geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark.

Kerajaan juga memberi perhatian kepada pengurusan sumber dan pembangunan ekonomi hijau melalui peruntukan RM10 juta bagi aktiviti pemetaan sumber nadir bumi.

Usaha pemetaan ini akan dilaksanakan termasuk melalui kerjasama antarabangsa diterajui Khazanah. – Bernama