KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai yang membeli barangan kelengkapan dan keperluan menjelang sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya akan bertindak sebagai pasukan penguat kuasa utama bersama agensi lain di kawasan terlibat.
Usaha ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Kawasan Rukun Tetangga dan persatuan perniagaan.
Beliau berkata Brickfields merupakan antara lokasi tumpuan orang ramai menjelang sambutan Deepavali.
Penambahan kawalan keselamatan akan melibatkan penempatan lebih ramai anggota di kawasan berkenaan.
Dalam tinjauan itu, Fadil diiringi Setiausaha MCPF Kuala Lumpur Yathiren Saminathan, Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Mohd Hisham Izhar dan Pengerusi KRT Brickfields G. Subramaniam.
Semasa program itu, Fadil meluangkan masa beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung di sekitar Little India, Brickfields.
Kawasan Little India di Brickfields mula meriah dengan jualan pelbagai barangan keperluan menjelang sambutan Deepavali. – Bernama