KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang pesara swasta mengalami kerugian RM15.1 juta selepas diperdaya rakannya untuk melabur dalam pembelian saham tidak wujud.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada wanita berusia 77 tahun berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 14 April lepas.

Beliau berkata mangsa mendakwa diperkenalkan oleh suspek utama yang juga seorang ahli perniagaan untuk melabur dalam saham sebuah syarikat tempatan.

“Mangsa diyakinkan untuk membeli saham berkenaan melalui suspek pertama dan saham itu akan dipegang oleh suspek secara amanah bagi pihak mangsa.

“Suspek turut memperkenalkan mangsa kepada seorang lagi individu yang dikatakan akan bertindak sebagai ejen pembelian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri JSJK di sini hari ini.

Rohaimi berkata mangsa ditunjukkan beberapa dokumen berkaitan pelaburan itu yang menambahkan keyakinannya untuk membuat pembayaran.

Beliau berkata mangsa membuat beberapa bayaran kepada tiga individu termasuk suspek utama melalui cek tunai, deposit tunai dan pindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM15.1 juta antara tahun 2020 hingga 2021.

“Pada 2021, mangsa mula meminta agar saham yang telah dibeli dipindahkan kepadanya berserta bukti pembelian. Namun, kedua-dua suspek memberi pelbagai alasan dan sering menangguhkan urusan itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati beberapa dokumen yang ditunjukkan kepada mangsa direka oleh suspek kedua bagi tujuan penipuan.

“Malah, beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp antara suspek pertama dan seorang individu berpengaruh mengenai urusan pembelian saham itu sebenarnya adalah perbualan antara kedua-dua suspek,” katanya, sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.