GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang pesara tentera yang disyaki menerima rasuah hampir RM405,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar tahun 2015 ketika suspek memegang jawatan Ketua Penerangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Suspek disyaki telah meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM405,000 daripada penjualan aset PVATM.
Aset terlibat merupakan lima unit pangsapuri yang terletak sekitar Pulau Pinang yang dijual dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran.
Wang rasuah dipercayai diterima melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik suspek.
Sebanyak 12 transaksi pemindahan wang telah dikesan dalam siasatan SPRM.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi.
Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Rabu ini. – Bernama