• 2025-07-23 11:54 AM

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 1,242 unit cecair rokok elektronik serta 36 kotak peranti vape dalam satu operasi di Jalan Jeli Kelewek, Tanah Merah.

Serbuan itu dilakukan pada jam 10.15 malam Isnin lalu di bawah Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditemui di dalam premis tetapi gagal menunjukkan dokumen kebenaran menyimpan atau memiliki barangan tersebut.

“Sebanyak 1,242 unit cecair dan 36 kotak peranti vape ditemukan di dalam premis tersebut. Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM125,000 dan hasil rampasan diserahkan kepada Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) untuk tindakan selanjutnya,“ katanya dalam kenyataan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1) dan 8(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDTM 2019. - Bernama