• 2025-08-18 06:22 PM

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya melumpuhkan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, serta pembalakan haram dengan rampasan keseluruhan bernilai RM4.85 juta dalam Op Taring yang dijalankan antara 1 hingga 16 Ogos lepas.

Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata dalam kejayaan pertama pada 1 Ogos, sepasukan anggota PGA Batalion 10 Sibu menahan seorang lelaki Indonesia berusia 42 tahun kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pembalakan haram di Sibu.

“Serbuan itu membawa kepada rampasan 100 batang kayu balak, sebuah mesin pemotong kayu dan sebuah jengkaut dengan nilai anggaran RM1.6 juta.”

“Pada 4 Ogos pula, dua lelaki tempatan ditahan di Sibu selepas didapati menyeludup 46,000 liter diesel menggunakan tiga buah kenderaan termasuk sebuah tangki treler.”

“Rampasan termasuk pelbagai peralatan berkaitan dengan nilai keseluruhan RM1.26 juta,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata pada 16 Ogos, sebuah kapal pukat tunda ditahan di Sungai Kemena, Bintulu kerana membawa 5,000 liter diesel tanpa permit sah dan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan dengan rampasan dianggarkan bernilai RM512,950.

“Selain itu, beberapa cubaan menyeludup produk makanan sejuk beku turut digagalkan PGA, termasuk kes pada 4 Ogos di Tebedu yang melibatkan rampasan 202 kotak makanan sejuk beku bernilai RM371,600.”

“Pada 1 Ogos pula, sebuah premis di Serian diserbu dengan ayam sejuk beku bernilai RM223,320 dirampas.”

Beliau berkata PGA turut menggagalkan aktiviti penyeludupan bawang besar di Biawak dengan nilai RM322,300, beras di Bau (RM183,000) serta 50 kotak makanan sejuk beku di Tebedu (RM140,000) yang tidak mempunyai dokumen sah.

Turut digagalkan adalah cubaan penyeludupan 30 tong gas bernilai RM135,400 di Sri Aman serta cubaan empat warga Indonesia memasuki negeri ini menerusi kawasan sempadan Biawak di daerah Lundu.

“Rampasan termasuk wang tunai bernilai RM3,050 serta sebuah kenderaan yang keseluruhannya berjumlah RM101,050.” - Bernama