KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral termasuk isu counter setting di sempadan negara.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA ACP Ijid Landu Binju berkata setakat ini tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak atau orang awam berhubung perkara berkenaan.
Beliau menekankan bahawa peringatan berterusan diberikan kepada anggota dan bukan hanya menunggu aduan sebelum mengambil tindakan.
Ijid berkata adalah menjadi tanggungjawabnya mengingatkan pegawai dan anggota di lapangan supaya tidak terbabit dalam sebarang salah laku secara berterusan.
PGA Briged Tenggara akan terus memperkukuh tahap integriti dan disiplin dalam kalangan anggotanya bagi memastikan tanggungjawab menjaga keselamatan sempadan negara dilaksanakan dengan penuh amanah.
Sebelum ini, polis Kelantan mengesahkan mempunyai maklumat awal berhubung kegiatan mengatur pangkalan di sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kegiatan seumpama itu amat membimbangkan terutama selepas berjaya menembusi kawalan keselamatan di kawasan berteknologi tinggi.
Pada 24 Julai lepas, seorang pegawai penguat kuasa ditahan di KLIA Terminal 1 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku mengatur kaunter.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia memaklumkan pegawai penguat kuasa itu ditahan Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS selepas rakaman CCTV menunjukkan tingkah laku mencurigakan. – Bernama