KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan dan merampas minyak masak bernilai RM46,750 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran di pangkalan haram dekat Kampung Terusan, Pasir Mas di sini.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu dilakukan pada kira-kira 4 petang oleh sepasukan anggota Batalion 7 (PGA7) bersama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

“Ketika tiba di lokasi, pihak PGA7 dan KPDN menemukan sebuah lori jenis Nissan yang terbabas dan ditinggalkan di tepi jalan tanpa pemandu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan ratusan kotak mengandungi 18,700 paket minyak masak di dalam lori tersebut tanpa dokumen yang sah,“ menurutnya dalam kenyataan pada hari Ahad (Okt 27).

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua rampasan termasuk lori bernilai RM160,000 itu dibawa ke Balai Polis Jelawat di Bachok untuk tindakan lanjut.