KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu menyiasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media semalam, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata sekiranya dokumen tersebut disahkan sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyiaran atau pengedarannya boleh membawa implikasi undang-undang, khususnya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Saya difahamkan ada laporan polis telah dibuat. Saya tidak boleh sahkan sama ada dokumen yang tersebar itu sahih ataupun tidak. Jika ia dokumen yang sahih dan terperingkat, maka Akta Rahsia Rasmi terpakai. Oleh itu, kita perlu berwaspada dan mengelak daripada menyebarkan dokumen terperingkat.
“Kita serah kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melakukan siasatan, tapi setakat ini saya tidak ada maklumat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) YOU & AI: MEET@BANGSAR di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Roslan Ariffin dan Presiden IPRM Jaffri Amin.
Petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial sejak semalam, dipercayai bermula dari laman Reddit, sebelum tular di Facebook dan aplikaksi X.
Fahmi turut mengingatkan pihak media agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peruntukan undang-undang dalam membuat pelaporan berita.
Ditanya sama ada perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata ia bergantung kepada pertimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kebiasaannya, Perdana Menteri sangat prihatin tentang apa-apa perkara yang berbangkit dalam khalayak umum, jadi ada kemungkinan ia akan dibincangkan,” katanya.
Mengenai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap penyebaran dokumen tersebut di media sosial, Fahmi berkata sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan laporan awam, dan kuasa untuk menurunkan kandungan masih tertakluk kepada budi bicara platform berkenaan- BERNAMA