Your Title

ALOR SETAR: Badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang pernah ditipu seorang pelajar lelaki sebuah universiti awam di Kedah, diminta untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut.

Wakil NGO dari Pulau Pinang Eng Hiap Boon mendakwa setakat ini, lebih 20 NGO di seluruh negara sudah menjadi mangsa penipuan pelajar terbabit, namun mereka tidak melaporkannya kerana bimbang pelajar itu mengugut untuk membunuh diri.

“Pelajar ini bijak, kalau ada yang mahu buat laporan polis terhadapnya, dia akan membayar kembali wang yang diterima dan dia turut ugut untuk bunuh diri, jadi mangsa takut untuk membuat laporan kerana bimbang akan dipersalahkan jika perkara itu berlaku.

“Pelajar ini mula menipu sejak dua tahun lepas, apabila kita cuba untuk beri nasihat, dia tanpa rasa serba salah dan bangga mengatakan bahawa tiada pihak yang berani untuk mengambil tindakan terhadapnya,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Difahamkan modus operandi pelajar terbabit adalah dengan memohon bantuan kewangan daripada NGO mahupun individu dengan mereka cerita antaranya dia diugut along dan memerlukan bantuan untuk perubatan, selain menipu perlu membayar yuran pengajian universiti.

“Kami mahu orang ramai sedar dan hentikan penipuan ini. Kami dimaklumkan pelajar berkenaan telah ditahan, namun begitu kami berharap semua mangsa dapat terus tampil untuk membuat laporan polis,“ katanya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang turut menjadi mangsa penipuan pelajar itu berkata beliau telah membuat laporan polis Isnin lepas.

Katanya, pelajar berumur 20-an itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Lim serta bapanya ada menghubunginya untuk memujuk agar tidak mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan.

“Saya juga telah memuat naik laporan berita daripada agensi berita berhubung kes ini di Facebook saya, tetapi dia telah mengugut untuk membunuh diri jika saya tidak menurunkan laporan berkenaan. Tetapi, saya ambil keputusan buat laporan polis atas faktor keselamatan diri juga,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan mengesahkan penahanan pelajar lelaki itu kira-kira pukul 3 petang tadi di rumahnya.

“Pelajar itu akan dibawa ke Mahkamah Jitra pagi esok untuk perintah tahanan reman. Polis akan melengkapkan siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,“ katanya.