KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan komuniti Cina di Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi negara, sektor ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan perindustrian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menyanjung tinggi peranan usahawan Cina di Malaysia dan di peringkat global, kerana memikul tugas memacu ekonomi tempatan dan antarabangsa.

“Dalam dunia penuh kerumitan dan ketidakstabilan, ketidaktentuan dan ketidakpastian yang semakin meningkat, usahawan Cina di seluruh dunia boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi kerjasama ekonomi serantau, memastikan keselamatan rantaian bekalan penting dan mempromosikan agenda pembangunan sosio-ekonomi global kita.

“Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, usahawan Cina telah bekerjasama rapat dengan semua pihak dan telah meletakkan asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentas sempadan negara,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucaptama di Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 di sini, hari ini.