PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama pemimpin dan wakil kanan daripada tujuh negara serta entiti antarabangsa, di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang sedang berlangsung di sini.
Pertemuan yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri itu melibatkan China, Australia, Pakistan, Turkiye, Palestin, United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah.
Dalam pertemuan bersama Menteri Luar China Wang Yi, Anwar berkata kedua-dua pihak membincangkan pelbagai aspek hubungan Malaysia-China yang terus diperkukuh, susulan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April, yang menyaksikan pemeteraian 31 dokumen persefahaman dan perjanjian.
“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah US$106 bilion pada 2024. Kami turut meneroka usaha merapatkan jurang dagangan serta memperluas kerjasama dalam sektor pelabuhan, gas asli cecair (LNG), air, ekonomi digital dan teknologi hijau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama dan RTM.
Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan China terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN berhubung situasi di Myanmar, serta menegaskan pentingnya penyelesaian secara aman terhadap isu Laut China Selatan, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Dalam pertemuan bersama Menteri Luar Australia Penny Wong, Anwar berkata Malaysia dan Australia meneruskan perbincangan ke arah memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.
“Saya menyambut baik minat pelabur Australia dalam sektor pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.
“Australia turut dijemput menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada September ini, sejajar dengan potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan,” katanya.
Anwar juga berkata pendidikan kekal menjadi salah satu tonggak utama hubungan Malaysia-Australia, dan kedua-dua negara menjangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) baharu pada Mesyuarat Pemimpin Tahunan Oktober ini.
Pemeteraian MoU itu merangkumi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kurikulum serta program pertukaran pelajar.
“Saya turut menghargai sokongan Australia dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan menerusi dana latihan dan penyelidikan berjumlah AU$500,000,” kata Anwar.
Perdana Menteri juga menyatakan beliau menantikan lawatan rasmi Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ke Malaysia pada Oktober ini, yang dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala berteraskan kepercayaan, nilai bersama dan aspirasi ke arah Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur.- BERNAMA