PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pemilihan PKR 2025 yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Walaupun masih belum mengemukakan pencalonan secara rasmi, Anwar memaklumkan bahawa beliau akan segera menghantar pencalonannya dalam masa terdekat bagi mengisi jawatan nombor satu parti itu.

“Saya tak daftar lagi, (pencalonan) presiden masih kosong... saya isi (pencalonan) kemudian,” katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa dan makan tengah hari di Restoran Kampung Pandan Kari Kepala Ikan Termasyhur di sini.

Media melaporkan proses pencalonan pemilihan peringkat pusat PKR menyaksikan masih tiada pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 membabitkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian.

Kongres Nasional PKR dimulakan dengan Kongres AMK dan Wanita pada 23 Mei, diikuti Kongres Nasional pada 24 Mei di Johor Bahru.

Terdahulu Anwar menyertai kira-kira 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Iman, Presint 9 dan mendengar khutbah bertajuk ‘Hebahkan Pernikahan, Sempurnakan Tuntutan’.

Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai, dan berjalan kaki kira-kira 100 meter ke Restoran Kampung Pandan Kari Kepala Ikan Termasyhur bagi menikmati juadah tengah hari.