PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basr kepada tokoh ulama besar dunia Islam Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim Ben Hafez.
Penyampaian naskhah kepada pendakwah dan pendidik terkemuka dari Yaman itu menandakan kesempurnaan satu daripada Projek 1 Juta al-Quran hasil inisiatif Perdana Menteri.
Penyerahan Mushaf Tarim itu merupakan satu lagi pencapaian penting Malaysia dalam bidang penerbitan al-Quran sekaligus mengangkat nama negara sebagai pusat pengembangan ilmu dan seni Islam di peringkat global. Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basr ialah hasil kerjasama antara kerajaan, Yayasan Restu dan Nasyrul Quran di bawah naungan Anwar bersama Darul Mustafa, Yaman yang dipimpin Al-Habib Umar Hafez.
Penerbitan itu menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam usaha memartabatkan khazanah seni dan ilmu al-Quran di Malaysia selaras dengan Projek 1 Juta al-Quran.
Mushaf Tarim menampilkan bacaan Qiraat Riwayat ad-Duri, antara sepuluh riwayat bacaan yang masyhur dalam tradisi ilmu al-Quran, dengan keunikan tersendiri dalam sebutan dan kaedah bacaan.
Penghasilan mushaf itu dilaksanakan oleh lima ahli khat Yayasan Restu sejak 2015 dan disempurnakan pada 2019, sebelum penerbitannya selesai sepenuhnya pada 2024.
Mushaf bersaiz A5 itu menampilkan tulisan khat yang jelas dan indah, dihiasi motif seni Yaman yang menggambarkan kesatuan antara rohani dan estetika.
Penerbitannya turut mengukuhkan hubungan sejarah dan dakwah antara Malaysia dan Yaman sekali gus memperlihatkan keindahan Islam yang menyatukan umat melalui wahyu dan seni.
Terdahulu, Anwar bersama kira-kira 10,000 jemaah menunaikan solat subuh dipimpin Imam Masjid Putra Abdul Karim Zakaria.
Perdana Menteri bersama jemaah kemudian mendengar Kuliah Subuh MADANI oleh Al-Habib Umar, yang membacakan kitab bertajuk ‘Qomi’ Al-Thugyan ala Manzumah Syu’abil Iman’, karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar Al-Bantani, membicarakan 77 cabang iman mencakupi soal akidah, akhlak dan Syariah.
Al-Habib Umar ialah pengasas Dar al-Mustafa, sebuah institusi pendidikan Islam yang melahirkan ribuan pendakwah dan ilmuwan dari seluruh dunia. Beliau terkenal dengan keilmuan dalam bidang tafsir, hadis, fiqh dan tasawuf serta pendekatan dakwahnya yang lembut, hikmah dan penuh kasih sayang.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Bernama