LUMUT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa semua menteri, pegawai tertinggi di peringkat Persekutuan serta kerajaan negeri malah pelaksana dasar dan projek untuk kerap turun padang bagi memahami setiap masalah yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata tindakan ini juga perlu dilaksana oleh semua Ahli Parlimen bagi memastikan setiap isu penduduk setempat dapat ditangani dengan lebih baik dan menyeluruh.

“Malah penjawat awam yang kanan pun kita minta turun ke bawah, sebab itu kita ada Sejati MADANI dan Kampung Angkat MADANI di mana pegawai-pegawai tinggi termasuk menteri tahu ada disconnect atau perbezaan daripada ungkapan dasar dengan apa yang kita laksanakan di peringkat bawah.

“Bila kita turun ke bawah, kita bincang soal pendidikan, pengangguran, dadah, kemudahan kesihatan dan projek ekonomi, jadi semua isu itu mesti ditangani dengan baik kerana apabila dengar masalah itu, mungkin ia lain di peringkat pusat dan negeri,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront di sini hari ini.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan mendengar keluhan rakyat secara langsung seperti menerusi penganjuran PMR atau sesi dialog antara pemimpin dan rakyat bagi mendapatkan maklum balas perkara yang perlu diperbaiki atau ditambah baik dalam setiap projek pembangunan.

Sebagai contoh, Anwar berkata beliau memperoleh maklumat mengenai masalah tandas rosak di kebanyakan sekolah dan isu capaian Internet di institusi pengajian tinggi melalui pertemuannya dengan orang ramai menerusi program menyantuni rakyat di warung makan mahupun solat Jumaat.

Perdana Menteri berkata langkah ini sekali gus membolehkan kerajaan bertindak segera menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

“Kita bercakap tentang kecerdasan buatan, digitalisasi, microsoft dan sebagainya tetapi masih terdapat isu tandas rosak dan tiada Internet, itu percanggahan besar sebab kita mahu sediakan masa depan yang canggih jadi prasarana asas mesti diselesaikan dahulu,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan para pegawai tertinggi kerajaan Persekutuan serta negeri.

Perak merupakan lokasi kedua bagi penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai kementerian peneraju.