BALING: Program MADANI Rakyat (PMR) bukan sahaja menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat malah menjadi platform untuk pelajar Teknikal dan Vokasional (TVET) menimba ilmu.
Menerusi program sukarelawan sempena PMR Kedah yang sedang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, pelajar Kolej Komuniti Bandar Baharu Ahmad Faiz Arshad Mohd Faisal berpeluang menyertai aktiviti menukar minyak enjin motosikal selama tiga hari.
“Bidang pengajian saya ialah Sijil Teknologi Automotif, lebih kepada penyelenggaraan kereta, namun apabila berpeluang mengikuti program ini, saya juga dapat belajar ilmu baharu mengenai penyelenggaraan motosikal,” katanya.
Beliau menyatakan sudah mengetahui cara untuk menyelenggara motosikal dan menukar minyak hitam serta berharap dapat mempelajari pembaikan motosikal pada masa akan datang.
Rakannya Muhammad Darul Abdul Rahman berkata penyertaan sebagai sukarelawan di PMR Kedah merupakan pengalaman kali ketiga dia mengikuti program luar kolej yang lebih praktikal.
“Saya suka menimba ilmu baharu dan program di luar kampus memang banyak dianjurkan pihak kolej, jadi bila ada peluang, saya akan sertai,” ujarnya.
Beliau berkata pada mulanya tidak mengenal jenis-jenis skru tetapi selepas seharian bertungkus lumus, sudah agak cekap dan kualiti kerja semakin baik.
Tenaga pengajar Kolej Komuniti Bandar Baharu Suraya Ismail@Shaari berkata seramai enam pelajar dibawa menyertai program perkhidmatan menukar minyak enjin motosikal di PMR Kedah kali ini.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk mereka belajar melakukan sendiri dan terdedah dengan dunia kerjaya sebenar,” katanya.
Beliau menambah mereka juga dapat menambah ilmu menerusi perkongsian dan tunjuk ajar daripada mekanik terlatih dan berpengalaman yang memberi nilai tambah kepada semua pelajar yang terlibat. – Bernama