GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan makmal memproses heroin serta syabu selepas menahan empat lelaki bersama pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM178,500 dalam siri serbuan di daerah Timur Laut di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri telah melancarkan operasi terancang dan menyerbu beberapa lokasi bermula 9.05 pagi hingga 9.30 malam.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun di parkir sebuah kawasan perumahan di George Town, yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan merampas 115 gram (g) heroin bernilai RM920 bersama suspek.

“Hasil soal siasat ke atas lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan pemeriksaan mendapati satu daripada bilik di situ dijadikan makmal memproses dadah oleh sindiket yang diketuai suspek tersebut.

“Polis merampas heroin base sebanyak 377g bernilai RM32,500, heroin 1,474g (RM11,792), syabu seberat 4,099g (RM132,000) dan kafein 3,474g (RM1,200) serta pelbagai barangan untuk memproses dadah jenis syabu dan heroin di situ,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata susulan serbuan itu, polis menahan tiga lelaki warga emas berusia 60 hingga 62 tahun dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah tersebut dalam serbuan di lokasi berasingan di kawasan Air Itam dan Bandar Baru serta merampas dua peket plastik heroin seberat 10.1g bernilai RM88.

Beliau berkata susulan penahanan keempat-empat lelaki yang tidak bekerja itu, polis menyita sebuah kereta jenis Chevrolet dan motosikal Honda Dash yang kesemuanya bernilai RM8,700.

Hamzah berkata ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada lelaki itu positif dadah dan semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Kesemua mereka kini direman tujuh hari hingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya.