• 2025-08-13 08:38 PM

GUA MUSANG: Polis sedang giat memburu suspek terlibat dalam kes penemuan mayat bayi lelaki pramatang yang dibalut kain lampin berhampiran tong sampah di sebuah taman permainan Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata mayat bayi itu ditemui dalam keadaan ditanam di kawasan taman permainan PPR pada kira-kira 10.30 malam semalam.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai penemuan bayi lelaki tersebut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati bayi tersebut adalah pramatang dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.

Mayat bayi itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121 222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama