MOSCOW: Polis London memaklumkan yang mereka menahan seorang lelaki suspek keempat yang disyaki terbabit dalam kejadian membakar rumah Perdana Menteri United Kingdom (UK) Keir Starmer, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Kebakaran di kediaman perdana menteri Britain itu berlaku pada 12 Mei, yang menyebabkan pintu hadapan bangunan itu rosak.
Rumah perdana menteri yang terletak di Countess Road, utara London adalah kediamannya selama hampir 20 tahun sebelum berpindah ke Downing Street. Menurut laporan media UK, Starmer kini menyewakan rumah itu.
“Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan pada Isnin, 2 Jun di Lapangan Terbang London Stansted ... kerana disyaki berkonspirasi melakukan pembakaran dengan niat membahayakan nyawa,” menurut kenyataan Polis Metropolitan pada Isnin.
Penahanan itu dipercayai berkaitan dengan tiga insiden: kebakaran kereta pada 8 Mei, kebakaran di pintu masuk sebuah bangunan pada 11 Mei dan kebakaran di sebuah bangunan kediaman pada 12 Mei.
Semua insiden dikaitkan dengan seorang tokoh awam terkenal, menurut kenyataan itu.
Tiga individu ditahan sebelum ini berhubung insiden bakar itu, iaitu warga Ukraine berusia 21 tahun, Roman Lavrynovych; warga Romania berusia 26 tahun, Stanislav Carpiuc; dan warga Ukraine berusia 34 tahun, Petro Pochynok.