• 2025-10-08 09:06 PM

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin Wilayah Dua menumpaskan cubaan menyeludup masuk 10 pendatang tanpa izin termasuk dua tekong di perairan Tanjung Pelepas awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi semasa pasukan rondaan Botronda PC 4 melaksanakan Ops Taring Gelora.

Pasukan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira tiga batu nautika dari daratan.

“Pasukan cuba menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan namun bot itu bertindak melarikan diri dan berlaku insiden mengejar,“ katanya.

Dalam kejadian itu bot suspek telah melanggar Botronda PC 4 lalu terbalik menyebabkan semua 10 penumpang jatuh ke laut.

Kesemua penumpang berjaya diselamatkan anggota PPM dan dibawa ke Jeti APMM Tanjung Kupang.

Mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk menerima rawatan.

Siasatan awal mendapati kesemua mereka terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan seorang etnik Rohingya berumur antara 21 hingga 48 tahun.

Mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah dengan dua daripada mereka disyaki tekong darat dan laut.

Polis turut merampas sebuah bot gentian kaca sepanjang 21 kaki dan satu enjin bot jenis Suzuki 40 kuasa kuda.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,500.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana melakukan penyeludupan migran.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah akibat perbuatan cuai.

Seksyen 186 Kanun Keseksaan juga dikenakan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Polis Johor sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran atau sebarang jenayah lain,“ katanya.

Masyarakat diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan ke Hotline Polis Johor menerusi talian 019-2792095.

Maklumat juga boleh disalurkan ke Bilik Gerakan 07-2212999 bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara. – Bernama