KUALA LUMPUR: Polis akan memohon untuk melanjutkan reman seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun bagi membantu siasatan kes pelajar perempuan 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata remaja itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok setelah tempoh remannya berakhir.
“Sebanyak 148 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan setakat ini,“ katanya dalam kenyataan.
Shamsudin berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu ini untuk arahan lanjut.
Pada Rabu lepas, majistret mengeluarkan perintah agar suspek yang juga pelajar di sekolah sama dengan mangsa ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada 14 Oktober, pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam tandas sekolah selepas disyaki ditikam berulang kali.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata laporan awal bedah siasat di PPUM mendapati punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang pada bahagian dada dan leher. – Bernama