KOTA BHARU: Polis merampas sebanyak 5,000 unit rokok elektronik yang dianggarkan bernilai RM525,000 yang disyaki untuk diseludup ke pasaran tempatan di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kesemua rampasan itu diperoleh dalam serbuan sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) pada pukul 1 tengah hari.

Beliau berkata hasil intipan PGA9, pihaknya telah mengesan sebuah van tanpa pemandu dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah rumah tidak bernombor semasa menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan Kelantan.

“Hasil pemeriksaan di dalam van tersebut menjumpai lebih 5,000 unit rokok elektronik yang disimpan dalam beberapa kotak. Anggota yang berada di kawasan itu telah melakukan pemantauan, namun tiada individu yang muncul untuk mengambil barangan tersebut.

“Kesemua barang rampasan kemudiannya diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, polis juga telah menumpaskan kegiatan penyeludupan buah kelapa yang dianggar bernilai RM185,000 di tepi jalan Pengkalan Kubor, Tumpat pada Isnin lepas.

Nik Ros Azhan berkata dalam kejadian itu, polis menahan sebuah treler jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun pada 8.15 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas treler tersebut mendapati lebih 37,000 kilogram buah kelapa ditemui di belakang treler tanpa sebarang dokumen yang sah,” katanya.

Berikutan itu, pemandu treler berkenaan ditahan kerana disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup buah kelapa itu ke pasaran tempatan.

Beliau berkata suspek dan kesemua barang rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya mengikut Peraturan 4(2)(b) Akta Fama 141.