• 2025-09-03 04:02 PM

KOTA BHARU: Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah selepas merampas syabu seberat 204 kilogram bernilai 6.5 juta ringgit dalam serbuan di sebuah premis di Pasir Mas pada 25 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan menyatakan operasi itu dijalankan antara pukul 7 hingga 10 malam dengan seorang lelaki tempatan berusia 20-an ditahan di kawasan semak berhampiran premis terbabit.

Pemeriksaan lanjut menemui lima guni mengandungi 125 bungkusan plastik berlabel Jin Xuan Tea serta dua guni lagi berisi 71 bungkusan plastik berlabel Number One yang kesemuanya berisi syabu tersorok di kawasan semak.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu berperanan sebagai transporter sindiket yang mengangkut bekalan dadah dari Kampung Terusan menggunakan bot sebelum disembunyikan untuk diambil ahli lain,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Beliau menjelaskan modus operandi sindiket menggunakan pangkalan haram tanpa pemilik sambil menjadikan Pasir Mas sebagai transit sebelum bekalan dadah disalurkan ke Lembah Klang.

Suspek yang bekerja sebagai peniaga runcit didapati positif methamphetamine dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah serta satu kes jenayah.

“Suspek kini direman 14 hari bermula 26 Ogos hingga 8 September di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah Hussein.

Polis turut menyita dua kenderaan Proton Persona dan van Ford Econovan bersama wang tunai 15,700 ringgit serta wang dalam akaun berjumlah 708 ringgit.

Kedai runcit milik suspek turut disita kerana dipercayai digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa manakala beberapa lagi ahli sindiket masih diburu.

“Risikan kes ini dijalankan selama sebulan dan Kelantan terus digunakan sebagai transit utama sindiket penyeludupan dadah melalui sempadan negara,” ujarnya.

JSJN mengulangi komitmen memerangi dadah tanpa kompromi dan mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai melalui talian hotline 012-2087222. – Bernama