KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan perbuatan mengaibkan kesantunan wanita melibatkan anggota polis susulan penularan video dikatakan memaparkan perbualan dua individu terbabit di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail meminta wanita dalam video itu tampil untuk membantu siasatan.

“Susulan penularan video itu, anggota polis terlibat telah dikenal pasti dan dikeluarkan daripada penugasan semasa, siasatan tatatertib juga sedang dijalankan ke atas anggota terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis mengesan video berdurasi satu minit 30 saat itu pada kira-kira 5 petang semalam, selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok menggunakan akaun peribadi sebelum tular di Instagram.

Mohd Azam berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Hida Hayati menerusi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya 03-42897222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata siasatan kes tersebut juga merangkumi aspek penyeliaan terhadap anggota terbabit.

“Jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis dan pegawai penyelia sekiranya aduan tersebut berasas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku di daerah Ampang, Selangor dan Ketua Polis Balai Pandan Indah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah membuat satu laporan polis semalam berhubung perkara tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.