• 2025-07-20 12:53 PM

IPOH: Polis sedang menyiasat dua laporan berhubung kes seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang diperdaya menyerahkan gambar bogel kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai “doktor” melalui aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata siasatan awal mendapati mangsa menyerahkan beberapa keping gambar bogel selepas diperdaya oleh suspek yang menyamar sebagai pegawai perubatan.

“Mangsa diminta memberikan maklumat diri dan keluarga serta menghantar beberapa keping gambar tanpa pakaian kononnya bagi tujuan pemeriksaan kanser serviks dan payudara. Suspek menyatakan hanya perlu menggunakan gambar mangsa sahaja tanpa pemeriksaan secara fizikal,“ katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa dikatakan menyedari dirinya ditipu selepas itu dan membuat laporan polis kerana bimbang gambar-gambar peribadinya tersebar.

Hasbullah menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya lebih peka terhadap isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tidak berkongsi maklumat peribadi dengan individu tidak dikenali.

“Orang ramai juga disaran mengaktifkan ciri keselamatan two-step verification pada aplikasi Telegram sebagai langkah melindungi akaun media sosial dan platform komunikasi,“ tambahnya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Munawarah di talian 011-16240391 atau Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222.