TELUK INTAN: Polis menahan 81 lelaki warga Indonesia hari ini kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit di sekitar daerah Hilir Perak.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 56 tahun itu ditahan menerusi Op Helang Hilir Fasa 2 hasil serbuan ke atas 19 premis termasuk kebun dan rumah kongsi pekerja ladang sawit di sekitar Langkap, Labu Kubong, Chui Chak dan Teluk Intan.
Beliau berkata operasi yang dijalankan bermula 1 pagi itu melibatkan tiga pegawai kanan dan 30 pegawai rendah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.
“Seramai 56 individu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala 25 lagi mempunyai permit atau pas lawatan yang telah tamat tempoh,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Bakri berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi permohonan tahanan reman untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata operasi itu adalah kesinambungan tindakan bersepadu bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain dapat mengekang kerugian ekonomi akibat jenayah kecurian hasil pertanian di daerah ini.
“PDRM menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,“ katanya. - Bernama