BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya di Kampung Sekolah Juru pada Sabtu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kedua-dua lelaki berusia 40-an itu termasuk seorang warga asing ditahan secara berasingan hari ini.
“Polis akan membawa kedua-duanya ke mahkamah esok untuk proses reman dan kita percaya mereka dapat membantu siasatan kes berkenaan,“ katanya kepada Bernama.
Azizee berkata polis sedang mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kes pembunuhan dua beranak tersebut.
Siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk bagi mengetahui motif pembunuhan.
Media melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru.
Azizee dilaporkan berkata mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ekoran kejadian itu, polis telah menahan reman suami wanita terbabit yang berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Oktober bagi membantu siasatan. – Bernama