Polis tahan empat lelaki disyaki terlibat kes samun, cubaan culik

KULAI: Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dengan kes samun dan cubaan melarikan seorang wanita dalam tiga serbuan di lokasi berasingan sekitar Johor Bahru dan Kulim, Kedah, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tan Seng Lee berkata bertindak atas maklumat sepasukan pegawai dan anggota dari unit D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai telah melakukan serbuan itu, kira-kira pukul 10.50 pagi hingga 4.50 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, dan mereka mengaku telah mengatur untuk melakukan cubaan samun.

“Kita turut rampas sebuah kereta jenis Honda Civic berserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan sebuah Mi Pad dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine, dan kes disiasat di bawah Seksyen 365/511 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah kesemua kini direman selama tujuh hari, bermula Selasa lepas.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita nyaris menjadi mangsa culik selepas ditumbuk dan diseret di atas jalan raya sebelum dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta oleh empat lelaki tidak dikenali di hadapan kediamannya di Taman Lagenda Putra di sini pada 5 Mei lepas.