GEORGE TOWN: Polis menahan seorang pemandu lori treler bagi membantu siasatan kes kemalangan maut yang melibatkan seorang penunggang motosikal di Jalan Permatang Pauh. Kejadian itu tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada pukul 8.20 malam. Siasatan awal mendapati motosikal yang datang dari arah Mak Mandin menuju ke Permatang Pauh bergerak terus di simpang tiga ketika lampu isyarat berwarna hijau.
“Pada masa sama, lori treler yang datang dari arah bertentangan membelok ke kanan secara tiba-tiba tanpa berhenti di lampu isyarat. Penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian tengah sebelah kiri lori treler,“ jelas Helmi dalam kenyataan rasmi.
Akibat kejadian itu, penunggang motosikal berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lori treler berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Ujian saringan awal air kencing pemandu tersebut juga didapati negatif.
Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membantu siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.