KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita warga asing disyaki memandu dalam keadaan cuai sehingga melanggar tiga buah motosikal. Kejadian berlaku di kawasan lampu isyarat berhampiran pusat beli-belah di Bandar Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 11.58 pagi. Siasatan awal mendapati wanita berusia 24 tahun itu memandu secara berbahaya sebelum keluar dari kenderaan.
Wanita itu kemudian menyerang orang awam dengan sebilah pisau. Orang ramai berjaya menahannya bersama dua bilah pisau sebelum menyerahkannya kepada polis.
Enam individu berusia 21 hingga 60 tahun cedera dalam kejadian itu. Dua daripadanya ditahan di wad manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.
Tiga motosikal rosak akibat dilanggar kenderaan wanita tersebut. Motif kejadian masih dalam siasatan.
Wanita itu ditahan dan permohonan reman akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Insp. Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817.
Video kejadian tular di media sosial memaparkan wanita terbabit keluar dari kenderaan sambil memegang pisau. Beberapa penunggang motosikal yang cedera dan usaha orang ramai menahannya turut kelihatan- Bernama