• 2025-07-22 03:31 PM

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM62.97 juta dari Januari hingga 20 Julai 2025, peningkatan ketara berbanding RM1.32 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata seramai 7,832 individu ditahan dalam tempoh sama, termasuk kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2), dan Seksyen 15(1)(a).

“Antara dadah yang dirampas ialah syabu, heroin, pil yaba, daun ketum, ubat batuk, air ketum, ganja, pil erimin 5, dan pil ekstasi,“ katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.

Selain itu, sebanyak 56,232.43 gram dadah dan 2,572.54 liter bahan terlarang bernilai RM1.1 juta telah dilupuskan hari ini selepas mendapat perintah mahkamah. Bahan tersebut merupakan rampasan dari tahun 2001 hingga 2025 yang telah selesai proses undang-undang.

Mohd Khairi turut memberi amaran kepada peniaga atau pempengaruh yang menyalahgunakan platform perniagaan untuk mengedar dadah.

“Jangan ingat polis tidak tahu. Kita tahu dan kita pantau. Individu yang menyamar sebagai peniaga kosmetik atau produk kecantikan untuk edar dadah pasti diberkas,“ tegasnya. - Bernama