KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi penjawat awam dengan menahan 10 individu dan merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM2 juta dalam dua operasi serentak di Lembah Klang dan Johor Bahru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata kesemua suspek berusia 27 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan dijalankan oleh JSJN Bukit Aman pada 5 dan 6 Sept lepas.

Beliau berkata ‘Ops Telomian’ telah dilancarkan di sekitar Taman Bukit Cheras dan Desa Tun Razak, Kuala Lumpur serta Kajang, Selangor dengan enam siri serbuan dan tangkapan.

“Tiga lelaki dan dua wanita termasuk warga Thailand yang disyaki ahli sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan dadah jenis syabu, ganja dan pil erimin 5 dengan anggaran berat 50.33 kilogram (kg) selain merampas pelbagai peralatan pembungkusan dadah seperti penimbang digital, pelekat dan plastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khaw berkata ekoran tangkapan itu, serbuan dibuat ke atas sebuah kuarters kerajaan di Kajang dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dipercayai dalang kepada aktiviti pengedaran dadah itu ditahan.

Beliau berkata dalam operasi kedua, pihaknya melancarkan empat siri serbuan menerusi ‘Ops Tosa’ di Taman Perdana dan Kempas Indah, Johor Bahru serta Kota Puteri, di Masai, Johor.

Beliau berkata hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah dan pemeriksaan ke atas sebuah motosikal, kereta Honda City dan dua rumah menemui dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba serta 499 biji pil erimin 5 dengan keseluruhan berat 5.606 kg.

“Hasil kesemua serbuan ini, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM2 juta. Polis turut menyita tiga kereta, wang tunai RM68,046 dan lima barang kemas dengan keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM151,416,” katanya.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dalam kuantiti besar sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna di pasaran tempatan dan dadah yang dirampas boleh diguna oleh kira-kira 30,000 orang penagih.

Khaw berkata semakan mendapati empat daripada 10 suspek ditahan positif methamphetamine manakala tujuh suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.