KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd berharap kerajaan akan meneruskan inisiatif pas perjalanan bulanan tanpa had dan memberi sokongan kepada projek Laluan Shah Alam (LRT3) dalam Belanjawan 2026 akan datang.
Syarikat itu berkata pas tanpa had itu telah terbukti sebagai langkah berkesan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan pilihan mobiliti mampu milik untuk semua.
“Pada masa sama, kami percaya sokongan berterusan kerajaan terhadap LRT3, yang hampir siap, amat penting dalam memperluaskan rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang dan memudahkan pergerakan harian jutaan penumpang,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
Menurut pengendali perkhidmatan rel itu, semua aspirasi itu berdasarkan matlamat yang sama, iaitu untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, lebih cekap, inklusif dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) dan pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed mahu lebih tumpuan diberikan untuk mengukuhkan kesalinghubungan di Sabah dan Sarawak dengan menaik taraf landasan pelepasan dan pendaratan singkat (STOL) di lapangan terbang.
Katanya, pada 2025, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM253 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Tawau, di Sabah dan Lapangan Terbang Miri di Sarawak sebagai sebahagian daripada projek pembesaran untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pertumbuhan pelancongan.
“Pada 2026, kerajaan juga perlu memperuntukkan dana bagi STOL di lapangan terbang untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan bagi populasi terpencil.
“Semua lapangan terbang ini turut memainkan peranan penting ketika kejadian kecemasan dan penyampaian bantuan semasa krisis, sekali gus menyumbang kepada daya tahan masyarakat,” katanya.
Selain itu, Wan Mazlina turut menekankan mengenai keperluan peruntukan untuk membeli pengangkutan rel kargo baharu atau membaik pulihnya untuk memenuhi permintaan pengangkutan yang semakin meningkat di Malaysia.
“Membaik pulih bermaksud menaik taraf atau memodenkan gerabak dan lokomotif kargo lama supaya ia boleh beroperasi dengan selamat dan lebih cekap untuk tempoh yang lebih lama, dan bukannya hanya bergantung kepada pembelian baharu.
“Ini akan membantu negara mencapai sasarannya untuk meningkatkan bahagian dalam pengangkutan rel daripada kira-kira lima peratus kepada 12 peratus menjelang 2030.
“Pengangkutan rel baharu atau dibaik pulih amat diperlukan untuk menyokong armada sedia ada dan memastikan projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan terminal bersepadu boleh memenuhi kapasiti yang diperlukan,” katanya- Bernama